Such Fine Weather for an Airstrike

A weekend writer’s blog, influenced by the works of Ernest Hemingway and the films of Yasujiro Ozu.

November 25, 2012




Masjid Sultan



Umum mengetahui Ustaz Mokhtar tidak sebulu dengan Haji Selamet.

Pokok pangkalnya terletak pada cara bagaimana kariah Masjid Sultan itu ditadbir. Tetapi selepas pilihanraya tsunami lewat tahun lalu, perkelahian itu menjadi berbaur politik pula.

Ramai yang jatuh terduduk dan lidah kelu terkedu apabila keputusan diumumkan yang pembangkang berjaya menawan kerusi daerah. Tidak pernah dalam sejarah dan tidak tersangka orang kebanyakan yang benda semacam itu boleh terjadi. Daerah yang rata-ratanya diduduki pesara kerajaan, cikgu pencen, bekas polis, dan peladang sawah, getah dan kelapa sawit itu akan mengundi sebegitu rupa. Apa yang mereka semua marahkan sangat dengan kerajaan sampai mengundi sebegitu Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

Ustaz Mokhtar terang-terang dalam kuliah Subuhnya keesokan hari memanggil peristiwa itu sebagai bala Allah yang datang mengazab kariah kita. Haji Selamet menemplak dengan istighfar yang keras, dan bangkit dari tempat duduknya di saf hadapan, keluar jemaah. Mukanya merah menyala. Matanya bulat tersembul. Langkahnya kecil tersenggut-senggut menarik kaki yang kebas duduk bersila selepas berwirid panjang. Lewat malam sebelumnya Haji Selametlah yang paling kuat bersorak dalam dewan kiraan undi selepas diumumkan Ir. Mohammed Zin yang telah menang. Sukanya dia sampai dipeluk digomolnya dada si Zin macam duda dapat dara, dilambung didukungnya si Zin itu macam pucuk tua dapat anak.

Asalnya perkelahian mereka cuma pada perkara-perkara kecil yang berkaitan dengan kegiatan masjid. Haji Selamet yang dulunya pegawai tinggi kerajaan telah pulang bersara di kariah Masjid Sultan tiga tahun yang lalu supaya dapatlah dia selepas berdekad-dekad meninggalkan kampung kembali rapat dengan keluarga besar arwah bapanya. Supaya dapatlah dia selalu menjenguk-jenguk kebun-kebun arwah bapanya yang berselirat terbiar berlalang di sepanjang Sungai Panjang. Haji Selamet berasa kesal kerana zaman mudanya dulu dia jarang balik kampung sampai anak cucunya tidak kenal siapa saudara siapa biras.

Tiap-tiap kali selepas habis solat jemaah adalah si Haji Selamet itu duduk di saf hadapan di bawah muncung aircond duduk tercongok mata terpejam bertasbih, bertahmid, dan berdoa panjang. Ada atau tidak kuliah atau bayan selepas solat, langsung tidak dipedulikannya.

Ustaz Mokhtar musykil dengan gayanya yang tidak berapa suka campur orang, tetapi sibuk mengomel diam-diam dibelakang kepada ahli-ahli kariah. Mengapa tidak dipanggil alim-alim besar datang beri kuliah, adu Haji Selamet. Mengapa Ustaz Mokhtar sahaja yang selalu mengimamkan tarawikh. Mengapa asyik diulang-ulang tajuk air sucilah, puasalah, hajilah. Mengapa karpet di saf hadapan itu tak ditukar-tukar sampai lusuh, berbau, dan berdebu dihempas lutut dan tapak kaki bertahun-tahun sedangkan duit tabungnya ada dan banyak.

Bila disampaikan kepadanya apa yang Haji Selamet adukan kepada ramai orang, Ustaz Mokhtar dengar dan diamkan sahaja. Atau dibalasnya ringkas, InsyaAllah nanti saya tengokkan. Dia sudah lali melayan kerenah ahli-ahli kariah yang macam-macam. Tetapi dengan Haji Selamet dia berasa sangat pedih. Dirasakannnya sebab Haji Selamet itu dulu pegawai tinggi yang senang memberi arahan kepada anak-anak buahnya di ibu pejabat bolehlah dia bercakap begitu begini yang itu terlebih yang ini terkurang menyuruh-nyuruh seadanya. Tetapi tidaklah pula dia ringan tangan menyumbangkan masa dan kudrat menolong-nolong ahli-ahli jawatankuasa masjid bergiat berkhidmat atau datang ke musyawarah bulanan memberikan buah fikiran.

Kerenah pegawai pencen yang tidak ada tanggungan dan perjawaban tetapi suka-suka melepas kata melepas cakap memang sukar untuk Ustaz Mokhtar tangani. Ahli-ahli kariah mudah terikut-ikut kata-kata Haji Selamet yang berhujah gaya orang yang berkelayakan tinggi itu. Dirinya yang hanya ada sijil mengaji pondok dan kaya pengalaman urus tadbir sekolah agama rakyat berpuluh-puluh tahun langsung diperlekeh oleh ahli-ahli kebanyakan.

Tersentak hati Ustaz Mokhtar memikirkannya. Takkanlah Sultan Yang Mulia silap dalam perkiraan baginda untuk mengurnia akan tanggungjawab besar menjaga urus tadbir masjid yang Arwah Yang Mulia Bapa Sultan sendiri bina dan dimana kaum kerabatnya dikebumikan. Sepanjang Ustaz Mokhtar dilantik memegang jawatan Pengerusi dan memangku tugas sebagai Imam Dua selama berbelas-belas tahun, tidak pernah pun Orang Kaya Bahagian atau mana-mana wakil Istana mempersoalkan kepimpinan dan usaha-usaha murninya di Masjid Sultan. Malah dimuliakan lagi sumbangannya itu di Istana Negeri. Kerana Masjid Sultan itulah tempat mulia kegemaran Arwah Yang Mulia Bapa Sultan, tempat dikebumi kerabat Diraja. Masjid itulah tempat kegemaran Arwah Yang Mulia Bapa Sultan setiap tahun mencemar duli mengundang resam datang bertarawikh berhajat qurban bersama rakyat.

Kemudiannya melandalah tsunami pilihanraya, lantas kian galaklah Haji Selamet mengomel. Semakin nyaringlah bisik-bisik kelambunya itu. Hujah-hujahnya pula beransur-ansur berubah menjadi slogan. Angin perubahanlah. Hijrah fi sabilillahlah. Perlunya keringat yang baru, perlunya tenaga orang muda, macam tokohnya itu Ir. Mat Zin. Tangannya dihayun-hayun tinggi macam panji apabila Haji Selamet bercakap-cakap di kaki tangga, menunggu masuk Isyak. Dipusing-pusingnya tangan macam ditiup angin, berkibar-kibar, berkobar-kobar.

Perubahan, perubahan, katanya. Kita mesti ikut arus perubahan. Jangan lemas, jangan tewas. Tsunami itu tandanya. Masjid ini pun perlulah berubah, perlu berhijrah. Macam negara kita ini juga. Macam yang rakyat kebanyakan macam kita ini mahukan. Itu yang kita impikan. Itulah sebabnya Ir. Mat Zin menang.

Ustaz Mokhtar melihat gelagat si Haji Selamet itu dari jauh. Dan dia diamkannyalah sahaja.



Author's notes - A few things happened. One, An UPSI graduate student contacted me asking my permission to make a short story that I wrote in 2003 for Silverfish Books her group's case study for an Advanced English Literature class. I said, OK go ahead, and then I ran to my bookshelf to find what I actually wrote about then.

Two, I have been reading a few Malay novels lately and I find them either awfully kiddish or awfully scholarly. Both of which do not appeal to me. Three, [deleted].

Fourth, I have been injured past few weeks, so I could not go running or jungle trekking (it's quite serious). So, staying indoors in the weekend got me to writing again.

I finalized 'Masjid Sultan' in one sitting for an hour tonight. The thing just flashed out. I don't know if it's any good. It reads like 'Chapter 1' to a novel, isn't it? Feels weird doing it in Bahasa Melayu. Heh.


Blog Archive

About the Author

My photo
I am a young man in my early thirties. A chemical engineer by training, but I like to say I am writer first before I became anything else. I began writing when I was fifteen. I come from Kuala Selangor, a quiet town by a river, full of sleepy sedentary government pensioners.